Farid Kamil Akan Mengarah Filem Baru 'Cup Prix' Selepas Aidilfitri


CATAT SEJARAH...Filem Kongsi arahan Farid raih kutipan cemerlang.
CATAT SEJARAH…Filem Kongsi arahan Farid raih kutipan cemerlang.
FASA hidup yang dilalui Farid Kamil Zahari, 30, jauh berbeza jika dibandingkan dengan pembabitannya dalam bidang seni sejak lapan tahun lalu.
Di awal kemunculannya pada 2004, dia dianggap bertuah kerana diberi peluang berganding bersama pelakon popular, Erra Fazira menerajui filem 7 Perhentian.
Ketika itu, segelintir peminat melontarkan pandangan sinis apakah bakat baru sepertinya layak memainkan tanggungjawab besar itu.



Namun, jejaka berusia 30 tahun ini enggan putus asa mencuba mahupun mempedulikan pandangan skeptikal yang diterima. Sebaliknya, dia berusaha mengasah bakat hingga merealisasi impian bergelar pengarah enam tahun kemudian menerusi V3: Samseng Jalanan.

Menimba pengalaman dari bawah, rezeki Farid semakin mencurah apabila terus meraih pelbagai peluang berlakon. 


Mengikut profil daripada laman sesawang Sinema Malaysia, Farid sudah membintangi 29 filem termasuk mengarah filem kedua, Kongsi. Filem ini juga mencatat sejarah buat Farid dan produsernya, David Teo apabila mencatat kutipan RM8.5 juta.
Filem ketiga arahannya, PE3 bakal menyusul nanti. Sementara itu, Farid masih sibuk dengan aktiviti penggambaran dan kerja produksi. Dalam kesibukan itu, dia tidak melupakan komitmen memenuhi jemputan seperti acara majlis berbuka puasa yang diadakan.


Pemuda berasal dari Alor Setar, Kedah ini mengakui jadual kerjanya tidak terbatas walaupun berdepan cabaran berpuasa. Daripada aspek lakonan, dia baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod, Wasiat arahan Faisal Ishak.


“Dalam sibuk berlakon, saya masih memberi fokus PE3 yang kini melalui proses pasca produksi. Saya juga dalam proses praproduksi untuk mengarah filem baru, Cup Prix yang dijangka memulakan penggambaran selepas Aidilfitri nanti. Ia masih menampilkan genre aksi dan skrip dihasilkan adik saya, Fadzil.


“Sebenarnya, apa yang saya cuba sampaikan kali ini berbeza dengan Remp-it dan V3: Samseng Jalanan. Plot masih membawa subjek motosikal, tetapi ia lebih menjurus kepada kehidupan pelumba profesional. Menariknya dalam filem ini, saya akan mengambil syot atau situasi sebenar yang berlaku di litar lumba,” katanya penuh semangat.


Minat Farid terhadap subjek motosikal masih menebal. Malah, memang mengikut perancangan, mahu menghasilkan sekuel Kongsi dan ia kini masih dalam proses pembikinan skrip.


Barisan pelakon dan plot yang ingin disampaikan belum dipastikan lagi, tetapi Farid berharap sekuel kali ini lebih hebat berbanding cerita pertama.


Atas kejayaan Kongsi mengaut keuntungan tertinggi dalam trek rekod filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG) sebanyak RM8.5 juta, Farid menerima habuan RM50,000 sebagai bonus manakala RM50,000 diberikan untuk kos melanjutkan pengajian perfileman ke luar negara.


Penerima Anugerah Bakat Muda Seni Lakon pada Anugerah Seni Negara (2009) sudah lama merancang mahu merealisasikan impian menimba ilmu di luar negara. Adanya peluang ini, dia memilih Australia dan dijangka memulakan pengajian pada pertengahan tahun depan.


“Seharusnya, saya bersyukur atas kepercayaan David Teo pada hasil kerja saya selama ini hingga mendapat habuan sebesar ini. Di Australia, saya akan mengambil kursus pendek khusus dalam bidang pengarahan aksi. Bagi saya, duduk di MIG dalam keadaan selesa memerlukan kerja keras secara konsisten.


“Selama ini, saya berasa beruntung kerana diberi kebebasan untuk berkarya termasuk mengarah dan berlakon filem sendiri. Malah adanya pemberian bonus seperti ini, saya menganggap ia suatu yang berbaloi atas usaha yang dilakukan,” katanya.


Melihat pada pencapaian cemerlang Farid bersama MIG, dia menolak pandangan segelintir yang mengatakan dia kini menjadi anak emas David dan MIG. Menepis pandangan itu, artis Wajah Eksklusif Astro ini juga tidak mendabik dada untuk bersikap ‘demand’ terhadap tawaran yang diterima.


Katanya, dia tidak berasakan perkara itu berlaku pada dirinya sebaliknya berpandangan, dia bertuah menerima kemudahan yang lebih daripada orang lain.


“Di MIG sebenarnya, setiap pengarah mempunyai pengkhususan sendiri. Seperti saya lebih cenderung pada genre aksi, Azhari Zain pula pada seram, Ismail Bob Hasim (Bob) membawa komedi manakala Hashim Rejab tertumpu pada genre drama.


“Tidak salah untuk saya mencuba genre lain asalkan saya masih menggunakan genre asal diadun seperti aksi komedi atau aksi romantik.


“Mengikut kontrak bersama MIG, saya masih mempunyai baki tujuh filem baru yang akan disiapkan berbanding 10 filem yang ditawarkan,” katanya.


Terikat kontrak bersama MIG, dia menyatakan masih bebas berlakon dengan mana-mana produksi, tetapi harus memberi fokus mengarah bersama MIG. Malah, dia selesa terus berlakon dan mengarah pada masa sama.


“Banyak tawaran daripada produksi luar yang saya terima, tetapi terpaksa ditolak kerana saya mempunyai komitmen pada filem dan drama sedia ada. Masa kerja saya sebenarnya terhad.


“Tahun depan, saya mempunyai projek besar mahu mengarah filem Gerila yang memfokuskan kisah tentera. Projek ini menyaksikan kolaborasi bersama Bob dan saya akan bertanggungjawab sebagai pengarah aksi,” katanya.


Menyentuh soal peribadi, Farid gembira kerana hubungan cinta bersama Diana Danielle kembali berputik. Seperti pasangan lain, Farid tidak menafikan menyimpan hasrat menamatkan zaman bujang, tetapi masih belum membuat keputusan mengenai tarikhnya.


“Mungkin saya belum dapat gerak hati untuk menamatkan hubungan kami ini. Buat masa ini, hubungan kami berjalan lancar dan saya selesa bersamanya.


“Sejak Ramadan, kami sebenarnya tidak mempunyai masa berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Cuma, kami berhubung menerusi telefon.


“Bagi saya, apa yang berlaku pada hubungan kami sebelum ini menjadi pengajaran dan mematangkan fikiran saya sebagai lelaki. Susah untuk saya kata mengenai kelebihan dia, tetapi dia seorang lemah lembut dan paling penting, sangat menghormati orang yang lebih berusia daripadanya,” katanya yang tidak mempunyai masalah mengenai pertanyaan peminat terhadap soal peribadi.


Mengenai persiapan Aidilfitri, Farid menyatakan dia akan bercuti selama seminggu untuk balik ke kampung keluarganya di Alor Setar dan Jitra, Kedah.


Di kesempatan itu, dia berhasrat mengadakan rumah terbuka untuk peminat sempena kejayaan filem Kongsi pada raya ketiga di kediaman ibu bapanya di Jitra.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s