Kebaikan Merancang Keluarga

Kebaikan Merancang Keluarga

SIBUK menguruskan anak yang berderet bilangannya, mungkin banyak perkara terlepas pandang. Rumah sudah tidak rapi seperti dulu. Berdandan untuk diri sendiri pun tidak sempat. Malah, waktu untuk suami mungkin terpaksa dikorbankan.

Apabila diajukan soal merancang keluarga, pelbagai pandangan timbul di kalangan pasangan suami isteri.

Ada yang menyamakannya dengan pembunuhan anak atau bertentangan dengan konsep qada dan qadar. Tidak kurang pula beranggapan merancang keluarga menafikan ketentuan Allah memberi rezeki serta berlawanan dengan konsep umat yang ramai.

“Hakikatnya, masyarakat harus berfikiran jauh dalam soal perancangan keluarga.

“Ia bukan perkara remeh malah dalam sesetengah keadaan, ia perlu dilakukan untuk mengembalikan keintiman suami isteri,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang juga Ketua Unit Merancang Keluarga Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Harlina Halijah Siraj.

Pada masa sama, ia mengelak isu anak terbiar yang boleh mendorong terjebak kepada gejala keruntuhan akhlak.

“Memang tiada kajian khusus dijalankan tetapi difahamkan kebanyakan anak-anak yang menghuni pusat pemulihan akhlak mengatakan diri mereka tidak diingini.

“Justeru, tak mustahil jika gejala anak terbiar berlaku kerana ibu bapa tak merancang bilangan anak menyebabkan mereka tiada persediaan untuk memiliki keluarga besar,” katanya.

Perancangan keluarga, menurutnya, adalah tanggung jawab ibu bapa yang bukan semata-mata untuk mengurangkan bilangan anak.

Perancangan keluarga adalah sebahagian perancangan hidup berkeluarga, merangkumi konsep menjarakkan kehamilan dan membantu pasangan yang sukar memperoleh cahaya mata.

Keupayaan membentuk keluarga ditunjangi lima perkara asas iaitu kesejahteraan fizikal, kemampuan ekonomi, keupayaan emosi, kelapangan masa dan sokongan sosial.

Baik si isteri mahupun suami, perancangan keluarga dapat membantu meningkatkan hubungan suami isteri yang lebih berkualiti selain waktu untuk anak-anak dan diri sendiri.

Dari segi kesihatan, menjarakkan kehamilan membolehkan si ibu mempunyai masa untuk berehat.

Malah, ibu yang hamil lebih daripada lima kali banyak dikaitkan dengan kadar kepucatan yang tinggi semasa hamil, kadar kematian ibu yang lebih tinggi serta keadaan mental dan emosi yang tidak stabil.

“Untuk suami, menjarakkan kehamilan menjamin kemesraan suami isteri yang berkekalan serta membantu mereka membuat perancangan daripada aspek ekonomi dan pembangunan keluarga dengan lebih baik.

“Apabila bercakap mengenai hak anak, ramai menekankan sumber halal untuk membesarkan anak.

“Tetapi, hak anak cukup luas, termasuk untuk hidup, mendapatkan ketulenan baka, diberi nama yang baik, disediakan keperluan asas termasuk penyusuan ibu serta diasingkan tempat tidur.

“Anak juga berhak mendapatkan pendidikan agama yang sempurna, diberi pelajaran dan asas kemahiran hidup dan diberi layanan saksama,” katanya.

Menurutnya, selepas disemak secara menyeluruh, tidak ada nas dalam al-Quran yang melarang usaha menghalang kehamilan atau mengurangkan bilangan anak.

Seorang sahabat Nabi Muhammad (saw), Jabir meriwayatkan:

“Kami mengamalkan al-azl (coitus interruptus) ketika zaman Rasulullah (saw). Baginda mengetahuinya namun baginda tidak melarang kami melakukannya. Sahabat yang mengamalkan al-azl termasuk Ali Abi Talib, Saad ibn Waqqas, Abu Ayyub Al-ansari, Abdullah bin Abbas dan Hassan ibn Ali.”

Beliau berkata, fatwa mengenai perancangan keluarga seperti dikemukakan ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi membenarkan umat Islam merancang keluarga atas alasan kukuh.

“Alasannya membabitkan kesihatan ibu serta bebanan anak hingga menyebabkan seseorang melakukan perkara haram untuk memenuhi keperluan hidup. Alasan lain termasuk keadaan kesihatan dan pembesaran anak.

“Dr Yusuf turut mengesahkan bahawa kaedah perancangan moden mempunyai tujuan serupa dengan coitus interruptus (membuang air mani di luar vagina) dan dari sudut perbandingan, ia dibolehkan,” katanya.

Dr Harlina berkata, pengguguran bukan kaedah merancang keluarga apatah lagi pengguguran memang tidak dibenarkan di negara ini kecuali membabitkan kesihatan atau nyawa si ibu.

Kaedah merancang keluarga juga pelbagai termasuk hormon menerusi penggunaan pil, suntikan dan pacakan (implan), alat dalam rahim, cara kiraan hari selamat, sterilisasi, membuang sperma di luar dan kondom.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s